|
PERLEMBAGAAN DAN UNDANG-UNDANG
BAGI
PERTUBUHAN KEBAJIKAN RUMAH SILATURRAHIM NURUL QANAAH
BATU CAVES, SELANGOR
UNDANG-UNDANG BAGI PERTUBUHAN
PERTUBUHAN KEBAJIKAN RUMAH SILATURRAHIM NURUL QANAAH
KANDUNGAN
FASAL 1 _ _ NAMA
FASAL 2 _ _ TEMPAT URUSAN
FASAL 3 _ _ BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA
FASAL 4 _ _ TUJUAN / MATLAMAT
FASAL 5 _ _ KEAHLIAN
FASAL 6 _ _ BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN
FASAL 7 _ _ PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI
FASAL 8 _ _ MESYUARAT AGUNG
FASAL 9 _ _ JAWATANKUASA
FASAL 10 _ _ KEWAJIPAN PEGAWAI-PEGAWAI
FASAL 11 _ _ KEWANGAN
FASAL 12 _ _ PEMERIKSA KIRA-KIRA
FASAL 13 _ _ PENGAMANAH
FASAL 14 _ _ TAFSIRAN UNDANG-UNDANG
FASAL 15 _ _ PENASIHAT / PENAUNG
FASAL 16 _ _ LARANGAN
FASAL 17 _ _ PINDAAN UNDANG-UNDANG
FASAL 18 _ _ PEMBUBARAN
UNDANG-UNDANG BAGI
PERTUBUHAN KEBAJIKAN RUMAH SILATURRAHIM NURUL QANAAH
FASAL 1 NAMA
(1) Pertubuhan ini dikenali dengan nama Pertubuhan Kebajikan Rumah Silaturrahim Nurul Qanaah, Batu Caves, Selangor atau
ringkasnya Rumah Nurul Qana’ah.
Selepas ini disebut Rumah Nurul Qanaah;
FASAL 2 TEMPAT URUSAN
(2) Alamat dan tempat urusan pertubuhan ialah No 34A/34B Jalan 10, Taman Batu, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan
atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa; dan alamat untuk surat
menyurat ialah No 34A/34B Jalan 10, Taman Batu, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.
FASAL 3 BENDERA, LAMBANG DAN LENCANA
Logo Pertubuhan melambangkan aspirasi pertubuhan untuk mewujudkan sebuah institusi penjagaan dan perlindungan anak-anak
yang kurang bernasib baik dengan hasrat melahirkan generasi baru yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Nurul Qanaah yang bermaksud cahaya kesederhanaan merupakan konsep asas dalam mendidik anak-anak ini bagi memahami hakikat
kehidupan dan sentiasa bersyukur bagi membentuk keperibadian dan jati diri mereka.
Dua tapak tangan yang berjabat melambangkan kasih sayang dan tali persaudaraan yang ingin diwujudkan oleh Pertubuhan ini.
Dua tapak tangan tersebut juga melambangkan doa kepada Tuhan untuk memberkati dan merahmati usaha yang dijalankan oleh Pertubuhan
untuk membantu anak-anak yang kurang bernasib baik ini.
Lambang yang berlatar belakangkan sebuah kitab atau buku pula menyatakan hasrat Pertubuhan untuk mengubah nasib anak-anak
ini dengan melahirkan anak-anak yang berilmu pengetahuan sama ada dari segi agama mahupun dalam bidang akademik.
Rekabentuk dinamik pula melambangkan cita-cita Pertubuhan untuk melahirkan anak-anak yang Berdikari, Berilmu dan Bertaqwa
yang juga dijadikan sebagai motto Pertubuhan ini. Padanan antara warna biru dan jingga sebagai warna utama juga memperlihatkan
sifat optimistik Pertubuhan yang meyakini bahawa anak-anak yang kurang bernasib baik ini boleh berjaya sekiranya diberi peluang
dan diasuh dengan persekitaran yang sempurna.
FASAL 4 TUJUAN / MATLAMAT
Pertubuhan ini ditubuhkan bertujuan untuk mewujudkan dan mentadbir Pusat Jagaan dan Rumah Perlindungan kanak-kanak yang
memerlukan perlindungan dan juga membuat peruntukan mengenai perkara-perkara yang bersampingan dengannya atau berkaitan dengannya
sepertimana yang terkandung di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994).
Pusat Jagaan dan Rumah Perlindungan kanak-kanak yang ditubuhkan oleh Pertubuhan ini akan menempatkan kanak-kanak di bawah
kategori berikut:
a) Anak-anak Yatim (anak-anak di bawah 18 tahun yang kematian ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali)
b) Anak-anak dari Ibu Tunggal yang tidak berupaya untuk memberi penjagaan sempurna kepada anak-anak tersebut disebabkan
faktor-faktor kemiskinan, kesihatan, kecacatan fizikal atau mental atau sebab-sebab lain yang dirasakan munasabah oleh Jawatankuasa
c) Anak-anak terbiar iaitu anak-anak yang tidak mendapat penjagaan sempurna dari ibu-bapa atau penjaganya disebabkan oleh
faktor perceraian, kemiskinan, kesihatan, kecacatan fizikal atau mental atau sebab-sebab lain yang dirasakan munasabah oleh
Jawatankuasa.
d) Anak-anak Saudara Baru (Mualaf) iaitu anak-anak dari saudara baru atau mualaf yang tidak mendapat penjagaan atau pendidikan
agama yang sempurna dari ibu-bapa atau penjaga mereka kerana tidak mempunyai asas dan ilmu pengetahuan yang mencukupi ataupun
disebabkan oleh kurang kemampuan ibu-bapa atau penjaganya untuk menghantar anak-anak ini ke institusi pendidikan yang sewajarnya.
Pertubuhan ini juga ditubuhkan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti amal seperti mengadakan kutipan derma atau fund raising,
seperti penganjuran majlis makan malam, malam persembahan serta aktiviti sosial lainnya yang bertujuan untuk mengumpulkan
dana bagi menampung perbelanjaan dan pentadbiran rumah perlindungan / jagaan ini serta menjalankan aktiviti Pertubuhan.
FASAL 5 KEAHLIAN
(1) Keahlian pertubuhan ini adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia ataupun mana-mana individu yang bermastautin
ataupun menjadi penduduk tetap di Malaysia.
(2) Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh dua orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha
yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut
budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.
(3) Seorang pelajar Universiti atau Kolej-Universiti tidak boleh diterima menjadi ahli Pertubuhan ini kecuali telah dibenarkan
terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.
FASAL 6 BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN
(1) Tiada sebarang bayaran masuk atau yuran yang dikenakan untuk menjadi ahli pertubuhan ini.
(2) Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan sekurang-kurangnya
2/3 ahli-ahli yang diputuskan melalui mesyuarat agung. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam
tempoh yang ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran bulanan.
FASAL 7 PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI
(1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Pertubuhan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih
dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya.
(2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Pertubuhan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama
baik pertubuhan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa.
Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan
atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut akan diberi tempoh 14 hari daripada tarikh surat pemberitahuan pemecatan
atau penggantungannya untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan akan berkuatkuasa sebaik
sahaja tempoh 14 hari ini tamat, melainkan Jawatankuasa menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.
FASAL 8 MESYUARAT AGUNG
(1) Pengelolaan Pertubuhan ini terserah kepada mesyuarat mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2)
daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah
hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.
(2) Jika korum tidak cukup selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah
ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup
selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli
yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Pertubuhan dan membuat keputusan-keputusan
yang melibatkan semua ahli.
(3) Mesyuarat Agung Tahunan bagi Pertubuhan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan
tetapi tidak lewat daripada 31hb Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja mesyuarat
agung tahunan ialah:
a) menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan pertubuhan di dalam tahun lalu;
b) menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun lalu;
c) memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira untuk tahun yang akan datang; dan
d) menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.
(4) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan
satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Pertubuhan bagi tahun lalu
yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan
Pertubuhan.
(5) Mesyuarat Agung Khas bagi pertubuhan ini boleh diadakan:
a) bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau
b) atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak
mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Pertubuhan.
(6) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari
tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.
(7) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya
14 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk bermesyuarat.
(8) Fasal 8 (1) dan 8 (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan
untuk mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan
bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan dan dalam tempoh masa 6 bulan
dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.
(9) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan deraf peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan
dan Masyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.
FASAL 9 JAWATAKUASA
(1) Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Pertubuhan hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan:
Seorang Pengerusi
Seorang Naib Pengerusi
Seorang Setiausaha
Seorang Penolong Setiausaha
Seorang Bendahari
7 orang Ahli Jawatankuasa Biasa
(2) Pemegang-pemegang jawatan Pertubuhan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Pertubuhan ini
hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia.
(3) Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan
cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap tahun.
(4) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara
mengenai perjalanan Pertubuhan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seterusnya tidaklah
boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan
Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya
dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.
(5) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah
diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Pengerusi dengan bersendirian atau tidak kurang dari 4 orang ahli Jawatankusa
bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2)
daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.
(6) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan,
maka setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan dari ahli-ahli Jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat
mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:
a) Masalah yang dibangkitkan hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap
ahli Jawatankuasa.
b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka
terhadap cadangan itu; dan
c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak
Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa
berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.
(7) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan
akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.
(8) Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di
dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak
jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan
diadakan.
(9) Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan Pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Pertubuhan,
dan melantik pengurusan dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang
pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau
kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Pertubuhan.
(10) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang
ahli Jawatankuasa.
FASAL 10 KEWAJIPAN PEGAWAI-PEGAWAI
(1) Pengerusi, di dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat
Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan dan salah seorang
yang diberi kuasa untuk menandatangani semua cek Pertubuhan bersama-sama dengan Setiausaha ,Bendahari dan Penolong Bendahari.
(2) Naib Pengerusi hendaklah memangku jawatan Pengerusi semasa ketiadaannya.
(3) Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Pertubuhan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan
perintah mesyuarat agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku,
surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli ayng mengandungi butir-butir
seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap
ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Ia hendaklah menandatangani semua cek Pertubuhan
bersama-sama Pengerusi dan Bendahari atau Penolong Bendahari . Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat
Agung Tahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan Pertubuhan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di
bawah Seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan, 1966.
(4) Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan
Setiausaha.
(5) Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Pertubuhan. Ia hendaklah membuat dan meyimpan kira-kira
berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Bendahari diberi kuasa untuk menandatangani semua
cek Pertubuhan bersama-sama dengan Pengerusi, Setiausaha atau Penolong Bendahari.
(6) Penolong Bendahari hendaklah menolong Bendahari menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan
Bendahari..
(7) Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.
FASAL 11 KEWANGAN
(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini wang Pertubuhan ini boleh digunakan untuk perkara
yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Pertubuhan, termasuklah belanja pentadbiran, perbelanjaan makanan, persekolahan
dan pelajaran , pakaian dan keperluan harian anak-anak di Rumah Jagaan atau Rumah Perlindungan, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai
dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar
denda ahli yang tealh dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.
(2) Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM500.00 ( Ringgit Malaysia Lima Ratus sahaja) pada
sesuatu masa. Wang yang lebih dari jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira
bank itu hendaklah di atas nama Pertubuhan.
(3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Pertubuhan hendaklah ditandatangani bersama oleh mana-mana
dua (2) daripada pegawai berikut iaitu Bendahari, Penolong Bendahari, Pengerusi dan Setiausaha. Semasa ketiadaan Pengerusi,
Setiausaha, Bendahari dan Penolong Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti
untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Pertubuhan.
(4) Perbelanjaan yang lebih daripada RM3,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Ribu sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar
dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM10,000.00 (Ringgit Malaysia
Sepuluh Ribu sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu. Perbelanjaan
yang kurang daripada RM3,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Ribu sahaja) bagi sesuatu masa bolehlah diluluskan oleh Pengerusi bersama
Setiausaha dan Bendahari.
(5) Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari
dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira yang dilatik di bawah Fasal 12 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya
tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan
yang beriku dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Pertubuhan.
(6) Tahun Kewangan Pertubuhan ini bermula dari 1hb Julai dan berakhir pada 30hb Jun tiap-tiap tahun.
FASAL 12 PEMERIKSA KIRA-KIRA
(1) Dua orang yang bukannya Pegawai Pertubuhan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-kira.
Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.
(2) Pemeriksa kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Pertubuhan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan
untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Pengerusi mengaudit kira-kira Pertubuhan bagi
mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.
FASAL 13 PENGAMANAH
(1) Tiga orang Pengamanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung dan mereka
akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Pertubuhan. Semua harta tetap kepunyaan Pertubuhan akan diamanahkan kepada mereka
dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust)
(2) Pengamanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hakmilik harta kepunyaan Pertubuhan dengan tidak mendapat
kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh mesyuarat agung Pertubuhan.
(3) Seorang Pengamanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh mesyuarat agung oleh sebab uzur kerana penyakit,
tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau atas sebab lain yang mengakibatkan ia ttidak dapat menjalankan tugasnya atau
pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pembuangan bagi seseorang Pengamanah maka kekosongan
itu bolehlah dipenuhkan oleh Pengamanah yang baru yang dilantik di dalam mesyuarat agung
FASAL 14 TAFSIRAN UNDANG-UNDANG
(1) Di antara berlangsungnya mesyuarat agung, Jawatankuasa boleh memberi tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa,
jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.
(2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung,
keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan mesyuarat agung.
FASAL 15 PENASIHAT / PENAUNG
Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat / Penaung bagi Pertubuhan
ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.
FASAL 16 LARANGAN
(1) Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Pertubuhan: Roulette, Lotto, Fan Tan,
Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan
Setengah, semua permainan dadu, bankers game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib;
(2) Pertubuhan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga
barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definisi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959;
(3) Pertubuhan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Pertubuhan
atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan;
(4) Faedah seperti diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Pertubuhan kepada
mana-mana ahlinya.
FASAL 17 PINDAAN UNDANG-UNDANG
Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung. Permohonan untuk perubahan
atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan mesyuarat
agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu
diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.
FASAL 18 PEMBUBARAN
(1) Pertubuhan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada
jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu mesyuarat agung yang dipanggil khas kerananya.
(2) Sekiranya Pertubuhan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggunggan Pertubuhan
yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang
dipersetujui dalam mesyuarat agung berkenaan.
(3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari
tarikh pembubaran itu.
|